Thursday, July 05, 2007

Komunikasi

Tingkatkan Komunikasi Dengan Anak-anak
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

Hasil kajian mendapati ibu bapa hanya berkomunikasi 5 - 10 minit sahaja dengan anak-anak. Fakta ini pasti mengejutkan banyak pihak. Cuba fikirkan, bila masanya kali terakhir anda berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak. Komunikasi berkesan merujuk kepada perhubungan dua hala antara ibu bapa dan anak-anak. Perhubungan ini pula perlu wujud dalam keadaan mesra dan tanpa sebarang tabir mental (mental block).

Anda sebenarnya diktator. Kerap kali faktor ini berlaku ketika membimbing anak-anak. Percakapan yang wujud antara ibu bapa dan anak-anak lebih berbentuk larangan, perbandingan, sindiran dan arahan. Kalaulah ini cara anda mendidik anak-anak maka wajarlah sekiranya anda dianggap sebagai seorang yang memimpin keluarga secara autokratik. Cuba ingatkan semula perkataan-perkataan anda tehadap anak-anak setiap hari
Ali balik sekolah nanti buat kerja rumah (arahan).
Jangan lupa tolong angkat kain lepas ini (arahan).
Mak tak nak tengok kamu bergayut kat telefon lama-lama macam semalam (larangan).
Itulah kau bila belajar jer malas, tengok si mamat tu tak payah disuruh (membandingkan).
Hmm... daripada bagi kat Ali tu baik kasi kat kucing. Bukan dia hargai pun. (Sindiran).
Inikah komunikasi yang ada antara anda dengan anak-anak? Kalau inilah yang anda faham sebagai komunikasi, maka anda jelas sedang menyediakan anak-anak yang bakal punya masalah dihari muka mereka.

Fahami mereka dan baru mereka memahami anda.
Inilah sebenarnya yang anda patut lakukan. Letakkan diri anda ditempat mereka. Selami perasaan mereka. Nasihat anak-anak anda seperti mana kawan-kawan mereka menasihati mereka. Elakkan dari terbentuknya tabir minda antara anda dan anak anda. Jangan sesekali anda mengkritik mereka secara melulu. Setelah terbentuknya jambatan perasaan barulah anda tunjukkan apa kesilapan mereka dan buka minda mereka akan akibat-akibat buruk yang mungkin menimpa sekiranya mereka tidak melakukan perubahan.

Jangan sesekali mengharapkan perubahan yang mendadak atau serta-merta, sebab perubahan sebegini biasanya tidak bertahan lama. Ceritakan kisah-kisah silam anda kepada mereka agar mereka tahu bagaimana anda menghadapi sesuatu situasi yang memerlukan ketabahan dan kecekalan.

Berikan mereka dorongan.
Jangan sesekali anda tunjukkan yang anda meragui kebolehan anak-anak anda dalam melakukan sesuatu perkara. Berikan mereka dorongan. Tolong mereka apabila perlu dan biarkan anak-anak belajar melalui kesilapan. Jangan harapkan bahawa anak-anak anda akan melakukan sesuatu perkara kali pertama dengan sempurna.

Begitu juga dalam soal pelajaran, elakkan dari meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak. Harapan yang menggunung ini ada ketikanya menyukarkan dan membebankan mereka.
Elak dari berkata, "mak nak lihat kamu dapat 8A dalam peperiksaan PMR tahun ini".
Tetapi ucapkanlah begini, "mak nak tengok kamu lakukan yang terbaik dalam PMR tahun ini, walau apa sekalipun keputusannya mak redha. Yang penting kamu mesti lakukan yang terbaik dan telah berusaha bersungguh-sungguh".

Selalulah ucapkan kata-kata ini hingga lazim dalam pemikiran anak-anak.

No comments:

Post a Comment